Thursday, 13 December 2012

Roti Canai



Roti canai atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini, merupakan satu makanan kegemaran di Malaysia. Ia dimakan sebagai makanan pagi, tengahari, petang, dan malam. Sering kali dimakan bersama dengan teh tarik, atau teh ais.Biasanya dihidangkan dengan kuah dal atau parpu atau kari dengan sambal ikan bilis.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu dibelakang roti adalah hasil dari tingkahlaku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai dibelakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia.

Roti canai di India dan Singapura, ia lebih dikenali sebagai roti pratha. Rupa roti pratha dengan roti canai adalah sama dan bentuknya masih lagi bulat.

Resepi

Bahan-bahan

1.     600 g tepung gandum

2.     1 camca garam

3.     1 camca gula halus

4.     2 biji telur, dipukul

5.     125 ml susu segar

6.     125-130 ml air

7.     3-4 camb minyak

8.     3-4 camb minyak sapi

9.     minyak/minyak sapi untuk menggoreng

Penyediaan

Gaulkan 3 bahan pertama, masukkan telur, susu dan air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh. Uli selama 10 min hingga licin dan lembut. Jika terlalu keras, basahkan tangan dengan air kemudian uli lagi. Bahagikan 7 atau 8 bebola. Letak dalam mangkuk. Lumur dengan minyak dan minyak sapi. Tutup dengan tuala lembab, biar 6-8 jam (semalaman). Ambil sebiji, leperkan seberapa nipis yang boleh (stail tersendiri). Angkat hujungnya dan biar memanjang seperti tali kemudian buatkan bulatan. Leperkan agar lapisannya bercantum semua. Jika cara ini sukar, memadai dengan melipat 4 kemudian goreng dalam sedikit campuran minyak/minyak sapi.

Variasi

  • Roti Telur, dicampurkan dengan telur selepas doh roti ditebarkan.
  • Roti Sardin, dicampurkan dengan sardin dalam tin bersama sos tomato dan diletak bawang yang didadukan.
  • Roti Telur Bawang, dicampurkan dengan telur bersama penggunaan bawang merah yang banyak.
  • Roti Pisang, dicampurkan dengan pisang yang telah dilenyek.
  • Roti Bom juga dipanggil roti boom, jenis roti canai yang dibuat bentuknya kecil dan lebih tebal dari roti canai. Adunan doh dan cara penebaran dan canai, adalah sama dengan roti canai.
  • Roti Planta, dicampurkan dengan marjerin yang banyak. Penggunaan nama Planta dibelakang kerana ia adalah satu jenama marjerin yang popular di Malaysia, kerana penggunaanya oleh orang Malaysia.
  • Roti Petak, atau roti canai sebenarnya, penggunaan nama ini bukan secara umum, penggunaan ini digunakan segelintir oleh orang Malaysia kerana mahu roti canai yang baru dibuat dan dimasak. Kebanyakkan roti canai(berbentuk bulat), telah siap dimasak awal-awal dan akan dipanaskan semula bila dipesan.
  • Roti Banjir, adalah roti canai yang telah dipotong kecil-kecil, dan dicampurkan kuah dal atau kuah kari yang banyak. Sambal akan diletak sedikit.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Roti_canai


Nasi Kerabu



Nasi kerabu merupakan hidangan nasi yang asalnya bewarna kebiruan, dan biasanya dimakan dengan ikan kering atau ayam goreng, daging bakar, telur masin, keropok, budu dan ulam-ulaman lain. Warna biru nasi terhasil daripada kelopak bunga telang yang digunakan dalam masakan. Kini kesukaran menyediakan pewarnanya, menyebabkan ia disediakan bersama nasi putih biasa atau warna nasi kerabu kuning yang dimasak dengan menggunakan kunyit.

Nasi kerabu amat popular di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, dan sekarang ini ia boleh didapati di seluruh negara. Ia juga sering dimakan bersama solok lada.

Nasi kerabu juga enak di makan bersama keropok goreng.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Nasi_kerabu

Nasi Dagang



Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa.

Nasi dagang Kelantan biasanya bewarna merah kerana menggunakan campuran pulut hitam.
 
Nasi dagang Terengganu dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan.

Nasi dagang Terengganu dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan.

Nasi dagang dikatakan dikenali sedemikian kerana, hanya mempunyai satu lauk (tanpa acar timunnya). Mudah, bagaikan mereka yang dalam perdagangan tanpa penyediaan lauk-pauk yang banyak.

Di Johor dan sesetengah daerah di Pahang seperti Raub, Pekan, Temerloh dan Kuantan, terdapat juga versi-versi Nasi dagang yang menggunakan kuah laksa sebagai kuah pilihan.



Nasi Kandar




Nasi kandar berasal dari Pulau Pinang kerana pelabuhannya. Dahulu kala pelanggan nasi kandar ialah para pekerja di pelabuhan Pulau Pinang. Ia adalah masakan untuk memenuhi keperluan masyarakat marhaen. Nasi banyak, lauk semata iaitu ikan kari atau ikan goreng dan bendi.

Ini adalah lumrah kerana orang yang membanting tulang empat kerat seperti pekerja gudang pelabuhan memerlukan tenaga yang banyak untuk memunggah barang. Begitu juga dengan penarik beca.

Penjual nasi kandar akan mengandar periuk nasi dan lauk pauk ke tepi pelabuhan di awal pagi untuk menjual nasi kandar. Sebab itulah orang Pulau Pinang makan nasi kandar pada awal pagi bukan tengah hari atau malam - sama seperti orang Batu Pahat makan sate di awal pagi.

Ia adalah amalan dan tradisi turun temurun sejak nenek moyang penulis berhijrah dan bermastautin di Pulau Pinang dari zaman sebelum perang dan merdeka lagi. Sehingga ke hari ini, masyarakat tulen Pulau Pinang seperti penulis dan bapa penulis hanya makan nasi kandar pada awal pagi iaitu seawal jam 7.30 pagi.

Ketika penulis masih kecil, datuk penulis yang bekerja berhampiran dengan pelabuhan Pulau Pinang akan membawa penulis yang ketika itu baru berusia tujuh atau lapan tahun ke gerai nasi kandar untuk makan nasi.

Hari ini, amalan tersebut masih kuat dalam keluarga penulis sekiranya kami anak beranak pulang ke Pulau Pinang. Jika masa kecil bersama datuk tapi bila dah besar abah yang akan mempelawa kami makan nasi kandar. Selain nasi kandar beratur yang popular kerana keunikannya itu, satu lagi nasi kandar yang masih mengekalkan aroma dan keaslian nasi kandar ialah nasi kandar Flat Kampung Melayu Air Itam.

Nasi kandar di flat ini hanya beroperasi di sebelah pagi sahaja, tidak tengah hari, petang atau malam kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri sebenar nasi kandar yang hanya dihidangkan pada waktu pagi sejak turun temurun lagi.

Bagaimanapun hari ini nasi kandar bukan lagi makanan yang khusus untuk masyarakat pekerja/marhaen. Ia telah menjadi makanan untuk semua lapisan masyarakat malah dalam keadaan tertentu ia adalah makanan untuk golongan berada kerana lauk pauk nasi kandar telah berubah wajah. Ada ayam, ada udang besar, telur ikan dan sotong - yang kesemuanya jika dijadikan hidangan boleh mencecah harga sehingga RM15 satu kepala.

Seperkara lagi yang penulis ingin tekankan ialah jangan salah faham dengan mencampur aduk atau menyangka kari kepala ikan itu sebagai hidangan nasi kandar. Nasi kandar asal tidak memiliki ciri-ciri kepala ikan. Yang menjual kari kepala ikan itu adalah nasi mamak bukan nasi kandar.

Malangnya orang Kuala Lumpur selalu ingat kari kepala ikan itu adalah sebahagian daripada hidangan nasi kandar. Di Pulau Pinang, nasi kandar original tidak sepatutnya ada kepala ikan merah yang besar macam gergasi tu. Kalau kepala ikan bawal tak apa.

Jadi jika ke Pulau Pinang dan hendak makan nasi kandar original, ingat pesanan penulis. Jangan main balun saja. Ciri-ciri utama nasi kandar adalah seperti berikut;

(i) nasi sekadar cukup-cukup pinggan sahaja tidak banyak dan tidak sedikit;

(ii) kuah mesti dicampur atau diadun di antara kari ikan, daging, udang dan sotong;

(iii) sebaik-baik adunan lauk pauk nasi kandar ialah ikan kari atau goreng (bawal) bersama dua keping daging kari, telur rebus atau;

(iv) pilihan antara sotong atau telur rebus bersama daging kari atau ikan bawal kari dan dua batang bendi rebus.

Dan rahsia memakan nasi kandar yang paling penting ialah makan jangan tambah dan makan dengan tangan bukan dengan sudu dan garpu.

Nasihat jangan tambah kerana jika ditambah kemungkinan untuk berasa mual adalah besar dan seandainya itu terjadi maka akan hilanglah nikmat memakan nasi kandar dan nasihat jangan guna garpu serta sudu supaya aroma unik campuran kari nasi kandar akan terus lekat berkekalan di tapak tangan sehingga ke senja. Alahai nikmatnya....

http://www.kitagempur.com/index.php?page=guide&op=readGuide&id=4004&title=Asal-usul-dan-rupa-nasi-kandar-original..%20

Char Kway Teow




Char kway teow merupakan makanan yang popular di Malaysia dan Singapura. Ia diperbuat daripada kuey teow (shāhé fěn dalam Cina Mandarin), leper dan kira-kira 1 cm lebar, digoreng di atas api panas dengan kicap dan sos, cili, udang, kerang, telur, tauge dan kucai Cina. Kadangkala hirisan sosej Cina dan kek ikan atau bahan-bahan lain ditambah mengikut citarasa setempat. Pada asalnya ia dimasak menggunakan lemak babi, yang memberikannya rasa tersendiri, namun kini sering dimasak menggunakan minyak biasa. Berbanding kuey teow goreng biasa, char kway teow agak basah.

Char kway teow mempunyai reputasi sebagai tidak menyihatkan akibat kandungan lemaknya. Akan tetapi, semasa masakan ini dicipta, sasaran utamanya ialah para buruh. Kandungan lemak yang tinggi dan harganya yang murah menjadikannya popular di kalangan buruh sebagai sumber murah tenaga dan nutrien. Pada masa itu, masakan ini selalunya dijual oleh nelayan, petani dan pemungut kerang yang menjual char kway teow pada waktu petang untuk menambah pendapatan mereka.

Etimologi
 
Istilah "Char kway teow" ialah transliterasi aksara Cina, "炒粿條", bersandarkan loghat Hokkien, salah satu kelainan pertuturan bahasa Cina. Lebih tepat lagi, "炒粿條" disebut sebagai chha2-koe2-tiau5? dalam loghat Hokkien, dan cháo guǒtiáo? dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, oleh sebab Char kway teow dibawa dari kawasan pertuturan loghat Hokkien ke kawasan pertuturan loghat Kantonis, nama Cinanya dicemarkan sebagai "炒貴刁". Ini disebut sebagai caau2 gwai3 diu1? dalam loghat Kantonis dan cháo guìdiāo? dalam bahasa Mandarin. "" tidak memiliki sebarang makna literal, tetapi bunyinya dalam bahasa Mandarin adalah serupa dengan "粿條" dalam loghat Hokkien.

"Char kway teow" seringnya dikenali sebagai "Char kway teow Singapura" (星州炒貴刁) atau "Char kway teow Malaysia" (馬來炒貴刁) di Hong Kong bagi menekankan tempat asal hidangan itu.

Dalam masakan Vietnam, hidangan mi goreng yang agak serupa dikenali sebagai hủ tiếu.

 
Variasi

 Pelbagai versi char koay teow telah dicipta. Perkara ini biasa ditemui di Pulau Pinang, Malaysia. Terdapat juga char kuay teow yang dicampurkan dengan telur itik (untuk memperkayakan rasanya) dan daging ketam (untuk menambahkan manisnya).
 
 

PP Presentation- Motivasi

https://docs.google.com/open?id=0B10qXMG2SaAdd1BaVnNGaHpOMVU

Wednesday, 7 November 2012

Nasi Lemak




Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi orang Malaysia dan Singapura terutama sebagai sarapan pada waktu pagi. Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa, bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa nasi lemak dimasak bagi menambahkan aromanya.

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng ,kacang goreng dan sambal. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk tetapi tidak terhad kepada daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu).

  •  

Pemakanan asal

Nasi lemak asalnya bukanlah merupakan makanan sarapan harian wajib masyarakat Melayu pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bentuk bekalan hidangan / bungkusan makanan kepada para pesawah padi mahupun orang yang mengusahakan kebun getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. Oleh kerana nasi lemak mempunyai jumlah kalori/ tenaga yang tinggi, selain mempunyai komposisi lemak yang tinggi untuk memebekalkan tenaga yang lebih baik dari karbohidrat, kebanyakan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Selatan Thai, Brunei dan Singapura, menjadikan nasi lemak sebagai bekalan untuk santapan mereka selepas membanting keringat.

Pada masa kini, nasi lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi. Malahan, ia dinikmati pada waktu makan tengah hari dan malam. Oleh sebab itu, nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa kesibukkan. Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini semakin mudah didapati di mana-mana sahaja. Biasanya harga nasi lemak berada di dalam linkungan Ringgit Malaysia 1 sehingga 6 sebungkus.

Karipap





Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Thailand dan Singapura. Ia terdapat dalam pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap, adakalanya inti ubi keledek juga digunakan. Nama karipap boleh dikaitkan dengan inti tersebut, yang menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa. Adakalanya sekarang, inti karipap boleh digunakan dengan lada hitam. Isi ikan yang dibuat sebagai inti karipap, dikenali sebagai temosa.

Di Johor, karipap lebih dikenali sebagai epok-epok. Dalam bahasa Inggeris pula ia dipanggil curry puff, tetapi bezanya ialah bentuk curry puff tidak semestinya seperti karipap. Juga, perbezaan dari segi pembuatan pastri karipap dan curry puff tidak sama. Lipatan pada atas karipap yang seperti satu corakan dipanggil kelim.

Kuih karipap juga merupakan kuih rasmi dalam mesyuarat kerajaan atau pun swasta.Biasanya ia di sertakan dengan kopi dan teh o panas menyebabkan keadaan mesyuarat rasmi lebih ceria.


Jenis karipap

Karipap daging

Karipap daging merupakan karipap berinti daging dari lembu dengan kentang. Karipap jenis ini merupakan inti karipap yang paling banyak dibuat di Malaysia. Pastri atau kulit karipap ini sama seperti karipap kentang. Inti kentang berlada hitam lebih enak dibuat dengan daging.

Karipap ayam

Inti karipap ini ialah daging ayam bersama ubi kentang. Penggunaan bahan perasa serbuk kari lebih bersesuaian dengan daging ayam. Ia juga, merupakan pilihan karipap yang sering dimakan sebagai sarapan mahupun di kala waktu petang.

Temosa/Karipap ikan

Temosa atau karipap ikan dibuat sama seperti karipap lain, tetapi ia mempunyai inti asas yang diperbuat daripada ikan yang digoreng kering bersama bawang dan isi kelapa muda. Rasanya lebih lemak dan tidak pedas.Terkenal di Pahang

Karipap sardin

Karipap sardin merupakan karipap berinti ikan sardin dalam tin yang kerap digunakan sebagai inti karipap ini di Malaysia. Pastri atau kulit karipap ini sama seperti karipap kentang mahupun karipap daging. Bagi membezakan karipap jenis ini dicam atau dikenalpasti, kebanyakkan karipap sardin dibuat berbentuk jenis panjang atau pun bulat berbeza dengan karipap biasa yang berbentuk setengah bulat.

Karipap pusing

Karipap pusing merujuk kepada kulit yang digunakan bagi menghasilkan karipap itu. Kulit karipap ini digelek berlapis-lapis dan akan menghasilkan corak berlapis-lapis yang cantik dan lebih garing.Karipap ini juga lebih sedap berbanding karipap yang lain kerana kulitnya yang lebih garing.Intinya dari keledek atau kentang dan bahan perasa dari serbuk kari.

Karipap mini

Karipap ini bersaiz kecil dari karipap yang ada. Kebanyakkan isi karipap ini diisi dengan serunding ikan.

Ketupat





Ketupat ialah sejenis hidangan daripada nasi atau pulut yang dibungkus dengan daun kelapa dan direbus dalam periuk yang terkenal di Malaysia, Indonesia serta beberapa negara Asia Tenggara lain.

Jenis ketupat bergantung kepada bahan yang digunakan dan daun yang digunakan untuk membuat bungkusannya. Ketupat pulut ialah ketupat yang mengunakan beras pulut sebagai bahan asasnya, manakala ketupat nasi dibuat daripada beras. Biasanya dibungkus dengan daun kelapa.

 


Ketupat palas ialah ketupat yang menggunakan daun palas sebagai pembungkusnya. Biasanya sarung ketupat palas dianyam terlebih dahulu sebelum disumbat dengan pulut yang telah dimasak. Ketupat palas juga biasanya dihidangkan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu. Biasanya daun palas digunakan untuk membalut ketupat pulut, manakala daun kelapa untuk ketupat nasi.

Ketupat tiga segi ialah bentuk ketupat tersebut tiga segi. Ketupat moden biasanya empat segi.

Sejak 1990, ketupat yang dibungkus dalam plastik mula diperkenalkan, dan boleh dikukus dalam periuk biasa maupun periuk elektrik. Ketupat sebegini dinamakan ketupat segera / nasi himpit. Walaupun ada pelanggan yang merungut bau tidak seenak dahulu, itu tidak jadi masalah. Terdapat juga dakwaan bahawa ketupat segera dalam plastik boleh mengakibatkan barah.

Ketupat biasanya dihidangkan semasa hari raya sahaja iaitu pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Ia biasanya dihidangkan dengan rendang dan serunding serta kuah kacang. Namun kini, ketupat turut dihidangkan dengan sate di gerai-gerai dan restoran seperti di Kajang.