Wednesday, 7 November 2012

Nasi Lemak




Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi orang Malaysia dan Singapura terutama sebagai sarapan pada waktu pagi. Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa, bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa nasi lemak dimasak bagi menambahkan aromanya.

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng ,kacang goreng dan sambal. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk tetapi tidak terhad kepada daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu).

  •  

Pemakanan asal

Nasi lemak asalnya bukanlah merupakan makanan sarapan harian wajib masyarakat Melayu pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bentuk bekalan hidangan / bungkusan makanan kepada para pesawah padi mahupun orang yang mengusahakan kebun getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. Oleh kerana nasi lemak mempunyai jumlah kalori/ tenaga yang tinggi, selain mempunyai komposisi lemak yang tinggi untuk memebekalkan tenaga yang lebih baik dari karbohidrat, kebanyakan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Selatan Thai, Brunei dan Singapura, menjadikan nasi lemak sebagai bekalan untuk santapan mereka selepas membanting keringat.

Pada masa kini, nasi lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi. Malahan, ia dinikmati pada waktu makan tengah hari dan malam. Oleh sebab itu, nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa kesibukkan. Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini semakin mudah didapati di mana-mana sahaja. Biasanya harga nasi lemak berada di dalam linkungan Ringgit Malaysia 1 sehingga 6 sebungkus.

No comments:

Post a Comment