Nasi kandar berasal dari Pulau Pinang kerana pelabuhannya. Dahulu kala pelanggan nasi kandar ialah para pekerja
di pelabuhan Pulau Pinang. Ia adalah masakan untuk memenuhi keperluan
masyarakat marhaen. Nasi banyak, lauk semata iaitu ikan kari atau ikan goreng
dan bendi.
Ini adalah lumrah kerana orang yang membanting
tulang empat kerat seperti pekerja gudang pelabuhan memerlukan tenaga yang
banyak untuk memunggah barang. Begitu juga dengan penarik beca.
Penjual nasi kandar akan mengandar periuk nasi dan
lauk pauk ke tepi pelabuhan di awal pagi untuk menjual nasi kandar. Sebab
itulah orang Pulau Pinang makan nasi kandar pada awal pagi bukan tengah hari
atau malam - sama seperti orang Batu Pahat makan sate di awal pagi.
Ia adalah amalan dan tradisi turun temurun sejak
nenek moyang penulis berhijrah dan bermastautin di Pulau Pinang dari zaman
sebelum perang dan merdeka lagi. Sehingga ke hari ini, masyarakat tulen Pulau
Pinang seperti penulis dan bapa penulis hanya makan nasi kandar pada awal pagi
iaitu seawal jam 7.30 pagi.
Ketika penulis masih kecil, datuk penulis yang
bekerja berhampiran dengan pelabuhan Pulau Pinang akan membawa penulis yang
ketika itu baru berusia tujuh atau lapan tahun ke gerai nasi kandar untuk makan
nasi.
Hari ini, amalan tersebut masih kuat dalam keluarga
penulis sekiranya kami anak beranak pulang ke Pulau Pinang. Jika masa kecil
bersama datuk tapi bila dah besar abah yang akan mempelawa kami makan nasi
kandar. Selain nasi kandar beratur yang popular kerana keunikannya itu, satu
lagi nasi kandar yang masih mengekalkan aroma dan keaslian nasi kandar ialah
nasi kandar Flat Kampung Melayu Air Itam.
Nasi kandar di flat ini hanya beroperasi di sebelah
pagi sahaja, tidak tengah hari, petang atau malam kerana ia masih mengekalkan
ciri-ciri sebenar nasi kandar yang hanya dihidangkan pada waktu pagi sejak
turun temurun lagi.
Bagaimanapun hari ini nasi kandar bukan lagi makanan
yang khusus untuk masyarakat pekerja/marhaen. Ia telah menjadi makanan untuk
semua lapisan masyarakat malah dalam keadaan tertentu ia adalah makanan untuk
golongan berada kerana lauk pauk nasi kandar telah berubah wajah. Ada ayam, ada
udang besar, telur ikan dan sotong - yang kesemuanya jika dijadikan hidangan
boleh mencecah harga sehingga RM15 satu kepala.
Seperkara lagi yang penulis ingin tekankan ialah
jangan salah faham dengan mencampur aduk atau menyangka kari kepala ikan itu
sebagai hidangan nasi kandar. Nasi kandar asal tidak memiliki ciri-ciri kepala
ikan. Yang menjual kari kepala ikan itu adalah nasi mamak bukan nasi kandar.
Malangnya orang Kuala Lumpur selalu ingat kari
kepala ikan itu adalah sebahagian daripada hidangan nasi kandar. Di Pulau
Pinang, nasi kandar original tidak sepatutnya ada kepala ikan merah yang besar
macam gergasi tu. Kalau kepala ikan bawal tak apa.
Jadi jika ke Pulau Pinang dan hendak makan nasi
kandar original, ingat pesanan penulis. Jangan main balun saja. Ciri-ciri utama
nasi kandar adalah seperti berikut;
(i) nasi sekadar cukup-cukup pinggan sahaja tidak
banyak dan tidak sedikit;
(ii) kuah mesti dicampur atau diadun di antara kari
ikan, daging, udang dan sotong;
(iii) sebaik-baik adunan lauk pauk nasi kandar ialah
ikan kari atau goreng (bawal) bersama dua keping daging kari, telur rebus atau;
(iv) pilihan antara sotong atau telur rebus bersama
daging kari atau ikan bawal kari dan dua batang bendi rebus.
Dan rahsia memakan nasi kandar yang paling penting
ialah makan jangan tambah dan makan dengan tangan bukan dengan sudu dan garpu.
Nasihat jangan tambah kerana jika ditambah
kemungkinan untuk berasa mual adalah besar dan seandainya itu terjadi maka akan
hilanglah nikmat memakan nasi kandar dan nasihat jangan guna garpu serta sudu
supaya aroma unik campuran kari nasi kandar akan terus lekat berkekalan di
tapak tangan sehingga ke senja. Alahai nikmatnya....
http://www.kitagempur.com/index.php?page=guide&op=readGuide&id=4004&title=Asal-usul-dan-rupa-nasi-kandar-original..%20
No comments:
Post a Comment